Pages

Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, September 28, 2011

Kempen Penyakit Tidak Berjangkit Dipergiat Kepada Pengendali Makanan







SINTOK, 23 Sept (Bernama) -- Kementerian Kesihatan mempergiatkan kempen kesedaran pada kalangan pengendali makanan mengenai penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan hipertensi bagi menggalakan penyediaan makanan sihat.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata ini kerana pengendali makanan memainkan peranan penting dalam memberikan pemakanan yang sihat kepada masyarakat.

"Kita adakan kempen kepada pengendali gerai seperti pengusaha teh tarik, kita mahu mereka kurangkan susu dan gula dalam minuman mereka. Kempen akan dilakukan secara lebih besar untuk mewujudkan kesedaran supaya kadar penyakit tidak berjangkit dapat dikurangkan," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau yang ditemui selepas melancarkan Program Siswa Sihat 1Malaysia di Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata program itu sebahagian daripada Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit Tidak Berjangkit yang dijalankan sejak Disember lepas.

"Elemen makan secara sihat dan melakukan aktiviti fizikal merupakan fokus utama dalam pelan itu. Kesedaran tentang perkara ini memang sudah ada cuma amalan saja tidak begitu dibudayakan," katanya.

Katanya Malaysia kini di kedudukan pertama di Asia Tenggara daripada segi obesiti dan keenam di Asia.

"Dari segi penyakit kardiovaskular (jantung dan strok) pada 2010, ia menjadi penyebab utama kematian di hospital-hospital Kementerian Kesihatan. Sebanyak 25.4 peratus atau 11,812 kematian disumbangkan oleh penyakit kardiovaskular," katanya.

Rosnah berkata penyakit kardiovaskular juga penyebab utama kematian pramatang di hospital kerajaan.

"Sebanyak 35 peratus kematian akibat penyakit kardiovaskular adalah di kalangan mereka yang berusia kurang daripada 60 tahun," katanya.

Mengenai program hari ini, Rosnah berkata langkah itu bertujuan mendidik masyarakat khususnya penuntut universiti agar menjalani kehidupan yang sihat.

"Program yang dijalankan di empat zon ini memfokuskan kepada amalan berjalan 10,000 langkah sehari dan mengurangkan pengambilan lemak.

"Program itu diadakan hari ini dan esok di UUM bagi Zon Utara. Bagi Zon Tengah di Universiti Kebangsaan pada 8 hingga 9 Okt, Zon Sabah di Universiti Malaysia Sabah pada 14 dan 15 Okt manakala Zon Timur di Universiti Malaysia Terengganu pada 23 dan 24 Okt," katanya.

-- BERNAMA






No comments:

NAK REZEKI MURAH TAK?

LINKAGE~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...